"Kalau berat dah sampai sekilo mahu cecah 40 ke 50 ribu." kata Mat Juni sambil kibas-kibas ketiak guna baju yang dah lama ditanggalkan. Sejuk ketiaknya bila peluh evaporate ke udara, nikmat Allah bagi.
Muka Mat Juni cengkung dengan pipi berjerawat bertulang tinggi. Hidung juga tinggi macam israel tapi matanya pula lebam dan dalam, manakala giginya sedikit jongang, sikit saja macam Yusri KRU. Muka penuh asam garam kesukaran hidup itu sekarang kelihatan sangat letih tetapi bersemangat. Bersemangat dia untuk ubah nasib. Dan mentaliti melayu dalam kepala otaknya terus berperanan mencari penyelesaian mudah. "Empat puluh ribu... sekali kerja saja... kita kaya." Mat Juni sengih yakin.
Saleh angguk-angguk tenang. Sekali kerja... 40 ribu... lumayan! "Kat mana ada?"
Soalan ringkas itu buat Mat Juni menarik balik sengihnya. Perlahan-lahan giginya kembali ke dalam mulut. Riak wajah yang tak hensem miliknya kini mula memasuki fasa berfikir dalam-dalam. Sangat dalam buat dia pandang jauh-jauh ke ufuk.
***
Di atas kepala mereka berdua matahari semakin bersinar terik. Tar dah lama berasap. Nasib baik ada bayang bangunan Jusco Perda menaungi mereka yang sedang berbual di atas motor parkir tepi gudang penyimpanan sejuk beku buah-buahan import tempat mereka bekerja. Time adalah lunch, dan perbualan ringkas tengahari hari ini tidak seperti biasa. Tiada perihal Juliana awek Seven Eleven sebelah yang comel mungil suka pakai kebaya. Tiada perihal race motor malam-malam. Tiada perihal Wayne Rooney main betina. Tiada.
Hari ini tajuknya adalah binatang taik hitam putih darah sejuk iaitu cicak.
"Ada..." Mat Juni bersuara datar setelah lama dia biarkan suasana diam untuk dia berfikir yang mana dia tahu aksi berfikirnya itu hanya gimik semata-mata agar rakannya Saleh tahu bahawa dia, Mat Juni, juga ada otak yang berfungsi. "Ada... di Hutan Bukit Hijau."
"Kulim?" Saleh separa terperanjat.
Mat Juni betul-betulkan bontotnya di kusyen motor EX5 milik Ah Chong rakan mereka, macam lurah punggungnya tak berapa selesa, "Ya, malam ini juga kita pergi."
Bukan cacing rawit di bontot tetapi perut pedalnya yang sebenarnya tidak selesa memikirkan perancangan ala-ala seekers yang dia atur sendiri dalam kepala. Hutan Bukit Hijau siang-siang menyeronokkan, tetapi kalau malam-malam... tiada siapa yang berani. Walaupun begitu, Mat Juni tahu, setiap untung besar, risikonya jauh lebih besar. Maka, it is now or... never, fikirnya dalam loghat orang putih.
"Aku tak ada cangkul," kata Saleh serius, "kau ada?"
Cangkul? Mat Juni merenung Saleh yang tiba-tiba buat usul berkenaan cangkul. "Cangkul nak buat apa?"
Saleh melihat wajah Mat Juni blur macam buat-buat tak tahu benda basic sebegitu. "Habis, nak korek akar tongkat ali tu pakai apa?"
Tongkat ali?! "Aku cakap pasal cicak tokek la BONGOOKKKK!!," Mat Juni bertempik sambil menggigit cermin sisi motor Ah Chong sekali ketip.
Pang! bunyi satu lempangan berlaku.
Selepas melempang cermin sisi motor Ah Chong, Mat Juni kini terpaksa menerangkan ciri-ciri fizikal cicak tokek, tempat membiak, nilai komersial dan nilai hempedu cicak itu dalam bidang perubatan penyakit Aids kepada Saleh. Mat Juni akhirnya puas hati apabila sahabatnya si Saleh mengangguk-angguk faham di akhir penerangan.
"Ooo... cakapla awal-awal." Saleh sengih.
***
Tidaklah tinggi, tetapi semak cukup tebal. Malam gelap bulan separuh. Rangka pokok belaan hutan hujan semulajadi dah nampak macam gergasi hitam legap yang kaku tetapi seakan-akan bersedia menerkam.
Seumur hidup depa, Mat Juni, Saleh dan Loh Besi dah banyak kali ke jeram Hutan lipur Bukit Hijau ni. Biasalah, mandi-manda. Tetapi ini kali pertama mereka buat kerja gila ke tempat ini waktu tengah malam buta.
Tepi pondok guard mereka dapati satu ruang selesa untuk parkir. Mat Juni dan Loh Besi mematikan enjin motor, tongkat dua kasi kejap. Dengan matinya enjin motor Modenas Kriss and Yamaha 125ZR milik mereka yang tadi memekak dalam hutan, suasana kembali sepi dan getaran halus sepi itu mulai menusuk lubang telinga mereka sampai ke sum sum. Bunyi air terjun di kejauhan pula macam bunyi datang dari alam bunian saja.
"Fuhhh..." kata Loh Besi, lelaki 24 tahun berbadan gempal berkulit hitam kerja mekanik, separuh berbisik, "seram sejuk aku ni Juni. Aku nak 30 persen."
"Okey," suara Mat Juni berdengung dalam tekak. Tangan kirinya yang baru dipasang tangkal geraham harimau perasap kemenyan dengan 77 jampi petang tadi kini ligat memaut Solex pada rantai dan soket, matanya pula melilau kiri kanan yang gelap. Tangan kena minyak hitam rantai dah tak dipeduli.
Saleh yang membonceng dengan Mat Juni kini sudah bersandar di palang security melihat-lihat sekeliling macam seorang expert dalam ekspedisi ini.
Siang hari di hari minggu, Hutan Lipur Bukit Hijau dikunjungi ramai orang untuk mandi air jeram yang sejuk. Nyamuk aedes Bukit Hijau sempatlah juga pekena darah fresh sepam dua. Paling nyamuk aedes suka liang epidermis berlengas milik budak-budak remaja yang sedang hanyut dalam gelora cinta duduk bermadah asmara di tepi batu, atas wakaf dan tepi jeram. Budak-budak itu gembira, nyamuk Aedes pun gembira.
Di sebelah malam cuba cerita apa yang gembira di tempat macam gini? Semua sepi. Lampu jalan habis di pintu gerbang masuk tadi, semakin ke dalam suasana semakin menginjak ke alam durhaka, alam gelap syaitan. Ketika motivasi Mat Juni, Loh Besi dan Saleh makin goyah digugat suasana, bunyi ini tiba-tiba menaikkan kembali semangat mereka. Sayup-sayup dari dalam hutan tapi jelas.
'Ketek ketek ketek... tekkkooo... tekkk koo.... tekk koo... tekk koo...'
Mat Juni dan Loh Besi berpandangan. Menyeringai. Cicak tokek!
"Hoih hoih," Saleh pula menggelabah, hidung mengembang dan bergegas undur ke belakang. "bunyi apa tu?"
Loh besi kerling Mat Juni. Mat Juni geleng kepala tanda Saleh memang tak ada harapan.
***
Hutan ada bau dia. Bau klorofil, bau pigmen pokok yang basah, juga bau chemistry bunga hutan dan serangga liar. Sesiapa yang biasa atau sekali sekala masuk hutan akan tahu bau unik itu. Saleh pun tahu, tetapi malam ini ada bau lain mengganggu nostril si Saleh. Semenjak tadi bulu roma dia dah meremang-remang. Apatah lagi sebelum masuk tadi, semasa bersandar di palang security tadi, dia dah dengar sayup-sayup bunyi...
Saleh tak tahu bunyi cicak yang buat Mat Juni dan Loh Besi kecoh mahu masuk hutan cepat-cepat, tapi bunyi yang dia dengar tadi dia amat-amat tahu. Of course bukan bunyi cicak, cicak gila pun tak bunyi macam tu. Saleh tahu dia saja yang dengar. Bunyi itu berdesis, perlahan tapi jelas, datang dari dalam hutan. Bunyi nafas pon-
Hishhh! Saleh peluk tubuh kemas-kemas. QulhuallahuAhad, AllahusSomad, Lamyalidwalamyuulad, walamyakunlahukufuan ahad. Dia baca dalam hati terketar-ketar.
Mat Juni selaku ketua operasi kini mulai melencongkan langkahan mereka ke denai kecil. Mereka semua tahu denai ini bukan denai laluan yang biasa. Denai kecil itu makin ke dalam makin mengecil dan kini mereka mulai sibuk menepis pokok dan dahan kecil yang sibuk merintangi laluan mereka.
"Alamak." tiba-tiba Saleh berbunyi dan berhenti. "Aduii! Masa kau ambik aku tadi Juni, aku tengah goreng telur dadar la. Habislah. Habislah rumah aku terbakar. Kita kena balik sekarang jugak!"
Mat Juni dan Loh besi berpandangan. Loh Besi geleng kepala.
Mat Juni memandang Saleh, dalam gelap samar-samar nampak muka Saleh seperti mahu menangis. "Saleh kau jangan macam-macam, kat depan tu sikit saja. Aku kan dah baca doa tadi, kita dah beritahu elok-elok dah kita masuk ni. Bukan main redah. Jomlah, jangan risau."
Loh besi angguk-angguk.
"Tak buleh Mat Juni," Saleh ada rasa mahu kencing, "aku dengar tadi bunyi han-"
"Hoih!" Loh Besi potong pantas, "kau jangan celupar Saleh, aku tarah bubur kau pakai parang ni karang." Loh Besi angkat parang di tangannya. "Dah cepat jalan."
Ternyata parang di tangan kasar Loh Besi berjaya buat Saleh diam.
No comments:
Post a Comment
cristopher_johnson@hotmail.com